Komuniti Followers

19 Oktober 2010

Masuk sekolah baru

me on stage (10.10.10)

Alhamdulillah. Pada 10.10.10 yang lalu, Universiti Malaysia Sabah telah mengadakan Majlis Konvokesyen bagi kali ke 12. Seramai 4615 graduan menerima ijazah masing-masing yang mana 11 daripadanya menerima doktor falsafah (PHD), 239 graduan ijazah sarjana, 4229 graduan ijazah sarjana muda dan 135 graduan menerima diploma.

Segala puji bagi Allah atas segala nikmatNya, saya termasuk di dalam senarai 4229 graduan yang menerima ijazah sarjana muda tersebut.

Waduh! Sungguh masa berlalu begitu pantas sekali.

Sepertinya baru semalam saya menjejakkan kaki ke alam persekolahan. Bermula dengan bersekolah rendah di SK. Pinosok Ranau (1994-1996), SK. Kundasang (1996-2000) dan kemudian bersekolah menengah di SMK Agama Inanam Kota Kinabalu (2001-2005).

Langkah seterusnya diatur . saya seterunya mengambil kursus intensif bahasa inggeris di Kinabalu College sementara menunggu kemasukan ke matrikulasi.

Mei 2006, Kolej Matrikulasi Labuan menjadi destinasi pilihan.

Julai 2007, saya sah menjadi seorang mahasiswa Universiti Malaysia Sabah.

Dan kini, saya telah menjadi siswazah dengan memegang Ijazah Sarjana Muda Sains dalam pegkhususan Akuakultur.

Moga segala ilmu dan pengalaman sepanjang berada di alam awal persekolahan sehinggalah ke university akan dapat dimanfaatkan kelak khususnya untuk ummah.

Amanah dan tanggungjawab yang bakal digalas kini bukan sesuatu yang boleh dipandang enteng. Malah membuthkan kepada kesungguhan, istiqomah, pengorbanan serta keboleh upayaan untuk memilih keutamaan.

Pesanan buat diri ku,

Selamat tinggal retorik. Selamat datang sekolah kehidupan!

26 Julai 2010

Catatan: hari-hari terakhirku di Jepun

Me on the 70th days of LI

Pejam celik sudah masuk hari-hari terakhir saya berada di bumi sakura ini untuk menjalani latihan industri. Menandakan soro-soro lagi saya akan kembali semua ke tanah air tercinta. Dan sepanjang masa itulah, banyak perkara yang saya perhatikan dan pelajari. Maha kaya Allah dengan khazanah ilmu pengetahuannya. Setiap apa yang berlaku dalam kehidupan ini merupakan pelajaran bagi mereka yang berfikir.


Saya jadi teringat kepada kata-kata Rancho (watak Amir Khan dalam 3 Idiots) dihadapan Dr. Virus dan rakan-rakannya, ‘ adakah sesiapa yang terfikir bahawa dia akan mendapat satu ilmu pengetahuan yang baru?’


Sebab itulah barangkali Saudara Mukhtar Suhaili As-Sarawaki menamakan yang satu in sebagai ‘sekolah kehidupan’.


Setakat pengamatan saya sepanjang berada di sini, sesungguhnya nihon-jin punya banyak nilai atau tabiat yang mirip benar dengan ajaran Islam. Mereka mengutamakan kebersihan, menepati masa, jujur dan amanah dalam tugasan, lembut pada lisan, satun pada perbuatan malah menghargai manusia dan kehidupan dengan sewajarnya. Semuanya ini telah membudaya dalam setiap individu ninon jin yang saya temui. Kalupun bukan semua, sekurang-kurangnya ia mengakar dalam setiap pekerja di Kansai Bussan ini.


Saya melihat semua itu seakan-akan berada dalam satu kelompok Muslim seperti gambaran Al-Quraan. Namun saya menyedari, sebahagian daripada mereka tidak memiliki kepercayaan bertuhan dalam kehidupan. Perkara ini juga kadang kala membuatkan saya malu sendirian. Masakan mereka yang tidak punya agama yang benar dan jelas boleh menjadi satu bangsa sehebat ini?


Dalam tulisan ini, saya juga tidak menafikan bahawa sepanjang pengamatan saya, mereka juga tidak lari daripada kekurangan. Namun, untu tulisan ini saya rasa tidak perlu untuk saya sebutkan. I.Allah ada kesempatan saya akan share sedikit sebanyak pada masa akan datang. Bukan bermaksud untuk mencari-cari kesalahan, tapi buat pelajaran buat yang ingin mengambil manafaat.


Saya kurang berkongsi pengalaman saya di sini melalui tulisan atas beberapa kekangan. Antaranya kerana masa senggang say gunakan sepenuhnya untuk berehat setelah seharian bekeringat.


Mudah-mudahan kembalinya saya ke Malaysia dengan membawa ‘buah tangan’ kepada ummat, InsyaAllah.


Tokei Ikan BertaQwa

Kansai Bussan Kabushiki Gaisha,

1608-1, Kisana, Ookoshi Cho,

Sakaide 762-0014 Japan.


01 Julai 2010

PMI 2010 Kembali!


Prof. Arif Kosmo sebagai tetamu istemewa PMI 2009. Tahun ini siapa pula?


Program terdekat yang direncanakan oleh IKATAN SAHABAT EKSAH UMS (ISEUMS) adalah Program Pembangunan Modal Insan 2010 (PMI'10) iaitu pada 16-18 July 2010 bertempat di Masjid UMS dan Dewan Canselor . Untuk pengetahuan semua, PMI merupakan program tahunan yang saban tahun menjadi program pembukaan bagi mahasiswa-mahasiswa UMS baharu. Program tahunan ini menjadi platform utama bagi Exco Kerohanian dan Sahsiah (EKSAH) MPP untuk memperkenalkan mahasiswa dan mahasiswi kepada program-program kerohanian. Namun pada sesi kali ini, sedikit pembaharuan telah dilakukan untuk memenuhi kriteria generasi Y yang semakin terdedah dengan dunia luar.

PMI 2010 (PMI'10) dirangka berdasarkan beberapa objektif yang ingin dicapai. Antaranya :

1) Usaha mewujudkan modal insan yang berketerampilan dan bersahsiah tinggi.

2) Membekalkan kepada mahasiswa dengan ilmu-ilmu pengetahuan sebagai benteng kekuatan diri untuk menghadapi krisis sosial dan moral.

3) Usaha untuk membentuk mahasiswa yang seimbang dari segi keintelektualan, kesahsiahan dan kerohanian.

4) Satu pendedahan awal suasana sebenar alam kampus terutamanya kepada Mahasiswa baru.

Diharap objektif yang telah direncanakan dapat dicapai.

PMI'10 juga ditambahkan lagi serinya dengan menjemput Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, Saifulislam Training and Consultancy sebagai penceramah jemputan dalam program ini. Program 3 hari 2 malam ini tidak hanya berbentuk kursus ataupun kem kepada peserta yang terlibat sahaja, malah membuka ruang kepada seluruh warga kampus UMS, UITM Kota Kinabalu, Politeknik KK dan pelbagai institusi pengajian yang lain serta masyarakat Sabah untuk menghadiri forum pada 17 July 2010 di Dewan Canselor.

Akhir Kalam, Diharap dengan perancangan rapi yang telah dilakukan akan mendapat sambutan daripada semua. Namun apa yang penting adalah keredhaan Allah yang menjadi matlamat utama.

Mohd. Khairuddin Daud

Pengerusi Ikatan Sahabat EKSAH UMS (ISEUMS)

Exco Kerohanian dan Sahsiah MPP.

24 Jun 2010

PSS to’ KRU, korekaramo gambate kudasai!!

Antara perasaan terharu dan sedih, saya membaca laporan bergambar Kem Remaja Islam (KRIS KK) Kota Kinabalu 2010 daripada laman sesawang Persatuan Siswazah Sabah.

Saya terharu kerana cukup bangga punya saudara, sahabat serta adik-beradik yang gigih dalam menyebarkan dakwah dan pengislahan ummah, khususnya kepada golongan remaja.

Bukan sedikit masa, tenaga, wang ringgit, masa lapang serta berbagai nikmat lain yang terpaksa dikorbankan demi untuk memastikan program yang dirancang dapat berjalan dengan lancar.

Saya sedih dan hanya Allah sahaja yang tahu bagaimana perasaan saya mengenangkan tahun-tahun sebelumnya, bersama-sama susah senang dengan para sahabat dan amilin dalam berprogram pada cuti sekolah khususnya bersama-sama dengan saudara dan sahabat-sahabat Persatuan Siswazah Sabah dan adik-adik Kelab Remaja Ukhuwwah.

Menjelajah ke setiap pelusuk daerah dan ceruk-ceruk di Sabah untuk menyampaikan dan memberi segala yang termampu, demi untuk melahirkan muslim shakaijin1 dan melihat masa depan ummah yang lebih gemilang.

Terasa baru sahaja semalam bersama-sama dengan mereka membangun dan menyusun program KRIS dan Islamic Summer Camp angkatan pertama pada tahun 2007 dahulu. Saya pada masa itu adalah pejawat tetap AJK makanan dan perisapan tempat disamping menjadi fasilitator. Saya gembira dengan posisi sebagai AJK makanan atas banyak sebab hehe

Dengan ahli yang baru mencecah satu pasukan team bola, poket yang tidak berisi, ilmu yang cuma sejengkal dan pengalaman yang masih membumi, program-program seterusnya dirancang dan disusun. Alhamdulillah tahun demi tahun penambahbaikan telah dilakukan.

Hampir setiap daerah telah dijelajahi dan kini telah mempunyai cawangan PSS dan KRU sendiri.

Saya sedih kerana tidak dapat bersama-sama pada kali ini. Tapi sedih itu terubat dengan perasaan syukur saya kepada Allah kerana dikurniakan sahabat dan saudara seperti kalian.

Bagi siri KRIS pada cuti sekolah kali ini, kalau tidak silap saya KRIS KK merupakan KRIS yang ke 3 selepas KRIS Kota belud yang juga diadakan serentak dan KRIS Tawau yang ‘meletop’ itu .

Selepas ini akan menyusul KRIS Sipitang, Kota Marudu, Papar, Pitas, Sandakan dan Lahad Datu. Serta yang terbaru KRIS Kundasang. Jangan Ketinggalan!

PSS to’ KRU,

korekaramo gambate kudasai!2

1 ahli masyarakat yang berketerampilan

2 PSS dan KRU, keep uy your good work!

Laporan KRIS KK yang baru diadakan pada 12 hingga 14 Jun yang lalu dan program-program PSS lain boleh diikuti di blog rasmi Persatuan Siswazah Sabah.

Tokei Ikan BertaQwa

Kansai Bussan Kabushiki Gaisha,

1608-1, Kisana, Ookoshi Cho,

Sakaide 762-0014 Japan.


18 Jun 2010

ISLAM menemukan aku sama om.

Om adalah istilah yang digunakan secara meluas di tempat kelahiran saya, Kundasang. Ia memberi makna kawan atau rakan. Istilah ini disebar luaskan penggunaannya oleh saudara daripada Indonesia yang datang berhijrah untuk mencari rezeki di kebanyakan tempat.

Saya bagi contoh penggunaanya dalam permualan seharian.

‘mau ke mana kau om?’ yang bermaksud ‘kau mahu ke mana kawan?’

Pada masa yang sama, penggunaan om sangan sinonim dengan bangsa Indonesia itu sendiri. Contoh ayat yang biasanya digunakan di tempat saya di mana om dirujuk sebagai orang Indonesia.

‘kau ada berapa om?’ maksudnya ‘kau ada berapa orang pekerja Indonesia?’.

Umum menegtahui, mereka adalah bangsa perantau. Bangsa yang tahan lasak. Bahkan bangsa yang kuat bekerja. Mungkin itu sebabnya antara ukuran pencapaian dan keberhasilan bagi kebanyakan pengusaha lading sayur-sayuran di Kundasang diukur berdasarkan berapa banyak om yang dia ada. Kerana bilangan om yang ada adalah berkadar terus dengan hasil lading barangkali.

Malah saya sendiri mengakuinya. Saya tidak mengatakan orang kita tidak kuat bekerja. Namun daripada pengalaman dan apa yang saya perhatikan, mereka sanggup untuk bekerja meninggalkan kampung halaman dan keluarga untuk mencari rezeki. Walaupun dengan upah dan bayaran yang sedikit, mereka tetap bertahan demi survival hidup yang lebih baik pada masa akan datang.

Ini saya dapat lihat dengan jelas melalui pemerhatian saya kepada beberapa orang om yang pernah dan yang sedang bekerja dengan bapa saya.

Dalam ramai-ramai mereka yang saya kenali, saya paling ingat kepada 2 orang ini.

Pertama, sorang abang yang bekerja di dewan makan sekolah menengah saya dahulu. Perjalanan masa menjadikan saya telah lupa kepada namanya.

Beliau seorang muslim yang komited.

Saya mula mengenali beliau kerana beliau rajin datang ke masjid dan sekali-sekala mengalunkan azan. Kami menjadi rapat bermula dari saat itu.

Walaupun bekerja sebagai pekerja dewan makan, beliau mempunyai ijazah sarjana muda dalam pengkhususan perakaunan di Universitas Yogjakarta Indonesia. Malah saya sendiri sempat melihat segulung ijazah tersebut yang beliau bawa sepanjang perantauannya mencari rezeki.

Sekali-sekala para senior yang mangambil subjek perakauan akan merujuk kepada beliau.

Tanpa memikirkan ijazah yang diperolehi, beliau juga terus bertahan. Saya cukup tersentuh dengan ayatnya yang ini, ‘bumi Tuhan ini luas. Rezekinya ada di mana-mana. Kalau kerja ngak kira apa aja. Yang penting sumbernya halal’ ujarnya dengan senyuman.

Orang kedua ialah. Dr.Darwis. lebih enak saya bahasakan sebagai Pak Darwis. Dahulunya merupakan pelajar Phd (pelajar habis dah) di Institut Penyelidikan Marin Borneo, UMS. Walaupun bertemuy dengan beliau hampir setiap hari, namun masa tidak mengizinkan untuk kami saling menegnali.

1 Ramadhan 1430H. Makanan untuk sungkai disediakan oleh pihak masjid dan saya antara ramai-ramai yang menjadi ‘pelanggan’ tetap. Boleh saja saya dan sahabat-sahabat makan di kafe. Tetapi yang dicari adalah keberkatan berbuka secara berjemaah. Pak Darwis juga tidak ketinggalan untuk mengambil bahagian. Sebelum sungkai, saya menghampiri Pak Darwis dan memeberikan salam.

Dan bermula daripada saat itu, hampir setiap kali sungkai, saya akan menghampiri beliau dan bertukar-tukar carita sebelum azan dilaungkan.

Antara sembang-sembang kami yang paling saya ingati ialah apabila saya bertanyakan tentang nasib saudara-saudara Muslim berbangsa Madura di Kalimantan kini. Beliau berkata keadaan di sana sudah terkawal. Muslim sudah boleh menjalankan kehidupan seharian seperti biasa.

Alhamdulillah. Beliau telah menghabiskan pengajian Pdh pada Disember tahun lalu dan kini menjadi salah seorang Pensyarah di Universitas Borneo Tarakan.

Abg dewan makan dan Pak Darwis hanyalah contoh daripada ramai-ramai om yang saya kenali dan saya kagumi. Biar masyarakat memandang mereka sebagai bangsa pendatang, tetapi komitmen mereka sebagai Muslim, kesungguhan jiwa dan pengorbanan mereka wajar kita teladani.

Dan di bumi sakura ini, perasaan kagum itu datang kembali. Saya telah bertemu dengan 3 orang pria yang telah bekerja dan bermastautin lebih dari 3 tahun di Jepun. Meninggalkan keluarga dan kampung halaman demi untuk mencari rezeki halal di bumi sakura.


Saya Cuma sempat mengingat nama salah seorang daripada mereka iaitu Arel. Perbualan kami tidak lama. Namun yang lebih membuatkan pertemuan itu mermakna ialah pertemuan tersebut adalah pertemuan antara saudara seaqidah yang berlainan bangsa dan pemikiran, tapi punya keyakinan yang satu.

Terima kasih Arel dan 2 yang lain atas ucapan salam dan perkenalan yang diberikan. Terima kasih juga kepada mu Ya Allah atas takdir yang direncanakan untuk mempertemukan kami.

'To the belivers is not else than a single brotherhood' Quraan 49:10

Moga anak-anak Muslim turut punya semangat dan sukses seperti kalian!

Tokei Ikan BertaQwa

Kansai Bussan Kabushiki Gaisha,

1608-1, Kisana, Ookoshi Cho,

Sakaide 762-0014 Japan.


12 Jun 2010

Cerpen Pilihan: Mana Tuhan Kamu?


Saya tidak mempunyai bakat dalam bidang penulisan. Jauh sekali menulis sebuah cerpen bertemakan kerohanian dan ketuhanan. Tapi saya amat meminati bidang penulisan sastera. Oleh kerana itu, sebahagian daripada koleksi buku saya adalah koleksi cerpen, novel dan juga kisah-kisah hidup selain daripada buku-buku haraki, siasah, motivasi dan kepimpinan. Hasil pembacaan daripada karya sastera, saya mendapati ia cukup berkesan ke atas pemikiran saya dalam memproses kefahaman yang akhirnya menterjemahkan output dalam tindakan.

Untuk entri kali ini, saya petik sebuah cerpen yang sangat baik untuk kita kongsi bersama. Moga pahala dan kebaikan yang berpanjangan saya doakan buat syabab berbakat besar ini, Saudara Hilal Asyraf .

Buka mata, buka hati dan selamat membaca!

**************

Cerpen ini saya tulis khas untuk ummah.

Moga-moga manfaatnya besar.

Moga-moga kesannya mendalam.

Agar menyemarakkan api perubahan.

Dan memadamkan gelita kefasadan.

Terimalah. Cerpen: Mana Tuhan Kamu?

Bacalah dengan penuh penghayatan.

Cerpen: Mana Tuhan Kamu?

Tahun 837. Kota Amoria, Romawi. Seorang muslimah berjalan dengan tenang di tengah pasar. Membeli barangan untuk tuan yang memilikinya. Dia merupakan hamba tawanan perang dan telah dijual. Kini meneruskan hidup menjadi hamba sahaya menguruskan hal ehwal rumah tuannya.

Tanpa dia sedari, ada mata-mata memerhatikan gerak langkahnya. Peribadinya yang berbeza membuatkan dia menjadi tarikan. Rambut tidak terdedah dilitupi kain penuh beradab, pakaian labuh tidak menonjol bentuk tubuh, dia nyata adalah yang ganjil di tengah pasar Kota Amoria.

“Aku kira, hari ini adalah harinya. Sudah lama aku menahan rasa” Bicara seorang pekedai kepada temannya dengan mata penuh dendam kepada muslimah itu.

“Ya. Mari. Sudah berminggu-minggu aku perhatikannya. Tersirap darah aku saban kali melihatnya” Rakan pekedai itu mengepal kedua belah penumbuk.

“Kita tidak perlu takut. Amoria adalah tanah kita. Semua di pasar ini akan menyokong kita!” Pekedai itu bergerak. Rakannya membuntuti.

Semakin lama semakin mendekat. Muslimah itu tidak menyedari, melainkan apabila telinganya menangkap seruan dari belakang.

“Wahai perempuan!” Segera muslimah itu berpaling untuk melihat. Tetapi terkejutnya dia apabila kedua tangannya pantas ditangkap.

“Lepaskan, lepaskan!” Perempuan itu didorong ke dinding berdekatan. Suasana pasar yang memang riuh menjadi semakin hangat apabila keadaan ini berlaku.

Si Pekedai mengikat kedua belah tangan Muslimah pada palang kedai berdekatan.

“Jangan apa-apakan aku!” Muslimah itu menjerit sayu. Mata-mata di pasar sekadar memandangnya kaku. Semua diam seperti batu.

“Hari ini, siapakah yang akan menyelamatkan kamu?” Pekedai itu menjerit diiringi ketawa berdekah-dekah. Tangannya bergerak pantas melucutkan kain yang melitupi kepala sang muslimah. Terserlahlah rambut panjang melepasi bahu yang perang. Warna rambut asli perempuan dari mediterranean.

“Jangan, jangan!” Air mata perempuan itu mengalir deras. Tiada yang membantu. Semua hanya melihat.

Rakan kepada pekedai bertindak dengan lebih jauh. Menyelak kain yang menutupi bahagian bawah pinggang perempuan itu dan mengoyakkannya.

“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Dia menjerit kuat.

“Lihat semua, inilah dia orang Islam yang hina. Percaya kepada yang tiada. Percaya kepada yang tidak berguna!” Pekedai tadi memandang sekeliling.

Air mata perempuan itu kabur dengan titisan air mata. Maruahnya diinjak sedemikian rupa. Dari kaburan matanya itu, dia menyangka bahawa keadaannya mendapat simpati manusia di sekelilingnya. Tetapi, tidak lama selepas jeritan lelaki itu, satu pasar mentertawakan keadaannya. Bahkan ada yang membalingnya dengan tomato.

“Mana Allah kamu? Mana Muhammad kamu?” Seluruh pasar menjerit menghinanya.

Hatinya remuk.Ya Allah, sesungguhnya hamba-hambaMu ini menghinaMu…

Maka dengan kekuatannya yang masih bersisa, dia menjerit sekuat jiwanya.

“Waa Mu’tasimah. Waa Mu’tasimah. (Di mana kamu Al-Mu’tasim? Di mana kamu Al-Mu’tasim?)!”

Dan jeritannya disambut hinaan dan ejekan.

Namun dalam lautan manusia berhati syaitan itu, ada sepasang mata yang memerhatikan. Segera pemilik mata itu bergerak meninggalkan tempat itu. Berjalan mendapatkan tunggangannya. Kemudian bergerak pantas keluar dari Kota Amoria, menuju ke satu tempat bernama Samarrah. Tempat bersemayamnya manusia bernama Abu Ishaq Al-Mu’tasim bin Harun Ar-Rasyid.

Atau lebih dikenali sebagai Khalifah Al-Mu’tasim.

****

Semboyan perang dibunyikan tanda peperangan telah berakhir. Kota Amoria tewas teruk. 30,000 perajurit romawi terbunuh, manakala 30,000 lagi ditawan oleh tentera dari Abbasiyah.

Tiba-tiba gendang berbunyi. Bendera kebesaran dikibar. Tentera-tentera berbaris kemas. Derapan kuda kedengaran gagah. Sepasukan tentera berkuda bergerak di tengah-tengah barisan. Mengiringi satu figur yang berpakaian sederhana bersama kuda berzirahnya.

“Di manakah muslimah yang memanggil aku?” Figur itu melaung dengan kuat.

Suasana menjadi sunyi seketika. Hanya diisi dengan bunyi deru angin dan api yang masih membakar beberapa bahagian daripada benteng pertahanan.

Tidak lama kemudian terdengar satu suara.

“Aku wahai Khalifah. Aku” Seorang perempuan bergerak menundukkan diri menghadapnya.

Figur itu turun. Bergerak mendekati muslimah itu.

“Wahai perempuan, apakah aku telah memenuhi seruan kamu?” Lelaki itu bertanya.

Dengan air mata yang mengalir, perempuan itu mengangguk berkali-kali. “Ya Amirul Mukminin, ya. Kau telah memenuhi seruanku”

Amirul Mukminin Al-Mu’tasim tersenyum.

“Apakah yang menghinamu itu ada dari kalangan mereka ini?” Al-Mu’tasim menunjuk kepada tawanan perang dari kalangan rakyat yang berbaris di tepi barisan tenteranya.

Muslimah itu mengangguk dan menunjuk dengan telunjuknya pekedai dan rakannya yang telah menjatuhkan maruahnya.

“Kau mulai sekarang, aku jadikan hamba yang merdeka. Kuberikan rumah, kuberikan tanah. Dan mereka berdua ini aku hadiahkan kepada kamu sebagai hamba”

Perempuan itu terkedu.

“Al-Mu’tasim, kau lancarkan perang ini hanya kerana seorang perempuan?” Satu jeritan kedengaran.

Al-Mu’tasim menoleh. Kelihatan seorang lelaki sedang dipukul oleh tenteranya. Mungkin kerana jeritannya itu dikira sebagai tidak beradab kepada khalifah.

“Siapakah dia?” Al-Mu’tasim bertanya kepada pengiringnya.

“Dia itu adalah ketua jeneral untuk Kota Amoria.” Pengiringnya berbisik.

Al-Mu’tasim mengangkat tangan, isyarat agar tenteranya berhenti memukul lelaki itu. Al-Mu’tasim merapati Jeneral Kota Amoria itu.

“Wahai jeneral, bukankah aku telah menghantar surat amaran? Sekiranya keeadilan tidak ditegakkan oleh pemimpin kamu, maka bersedialah untuk menerima tenteraku yang ramainya dari sempadan negara kamu hingga ke akhir sempadan negaraku? Dan pemimpin kamu tidak membalas suratku itu.” Al-Mu’tasim berbicara tenang.

Lelaki itu terdiam.

Al-Mu’tasim bergerak meninggalkan lelaki itu. Dia pergi ke arah pekedai dan rakannya. Memandang tepat kepada dua lelaki itu.

“Dan ketahuilah, masih ada lagi tenteraku yang sedang berbaris di hadapan istanaku untuk ke mari. Sesungguhnya, aku benar-benar mengotakan janji. Inilah dia kekuatan Tuhanku. Inilah dia warisan Rasulku. Sungguh, Dia tersangat mulia, tidak perlu turun sendiri untuk berurusan dengan manusia sepertimu. Sungguh, Rasulullah itu tersangat mulia, tidak perlu bangkit dari kubur untuk menguruskan kamu. Aku, hamba-Nya dan ummat kepada baginda, sebagai wakil menjalankan hukumNya dan membela ummat baginda.” Mata Al-Mu’tasim membesar.

Pekedai dan rakannya melutut kegerunan.

Al-Mu’tasim berpaling dan kembali menunggang kudanya.

“Mari kita pulang.” Al-Mu’tasim mengangkat tangannya. Gendang kedengaran. Seluruh tentera yang mengiringinya mendahului Al-Mu’tasim.

****

Tahun 1186. Di tengah sahara antara Kairo dan Damascus. Satu kafilah bergerak merentas bumi gersang di bawah terik mentari. Langit biru tanpa awan menambah hangat.

“Kafilah mereka sudah berada dalam pandangan kita, tuanku.”

Seorang lelaki bertubuh besar berjanggut kerinting keemasan memandang kepada pelapor. Dia mengangguk. “Ya, aku tahu”

“Bila kita hendak bertindak?”

Lelaki itu tersengih. “Tunggu arahan aku. Arahkan tentera kita berkumpul terlebih dahulu.” Bicaraya sambil memandang karavan tunggal di tengah padang pasir yang luas.

“Hari ini, orang Islam akan tahu betapa mereka hakikatnya tidak punya kuasa” Dia ketawa.

Tidak lama kemudian, si pelapor datang semula. “Semua tentera kita telah bersedia, tuanku!”

“Bagus. Dengan namaku, Raynald De Chatillon, serang!” Dia mengacukan pedangnya ke arah kafilah yang sedang bergerak itu.

Tenteranya bergerak ibarat taufan yang menyerbu. Debu-debu sahara naik membuatkan langit biru kelihatan perang. Jeritan ahli kafilah kedengaran melantun-lantun diiringi teriakan kesakitan. Darah merah memercik di sana sini menghiasi medan.

Raynald De Chatillon ketawa berdekah-dekah. Pengawal-pengawal karavan yang sedikit tidak mampu berhadapan dengan tenteranya. Satu persatu tumbang. Bahkan, ahli-ahli kafilah turut dibunuh tanpa berbelas kasihan.

“Tinggalkan seorang sahaja. Adik kepada Salahuddin Al-Ayubi, dia mesti menjadi tawanan kita!”

Dan hari hitam di tengah sahara itu berakhir dengan penuh tragis. Barang-barang dirampas. Haiwan tunggangan diambil. Ahli kafilah perempuan dirogol dan dibunuh. Yang lelaki dipenggal kepala semuanya. Tandu-tandu dibakar. Suasana persis neraka.

“Ini dia Tuanku Raynald. Adik kepada Salahuddin” Seorang perempuan memakai burqa ditolak dengan belakang pedang menghadap Raynald.

Raynald segera menghunus pedangnya yang masih berlumuran darah. Segera dicantas burqa perempuan di hadapannya. Terserlah wajah perempuan itu yang bersih.

“Adik Salahuddin. Di manakah Allah dan Muhammad kamu hari ini? Panggil lah mereka”

Adik Salahuddin senyap. Namun wajahnya tidak menunjukkan riak takut.

“Allah akan menguruskan kamu wahai Raynald!” Bicaranya berani selepas memandag wajah Raynald dihiasi tawa angkuh.

Gelak Raynald tambah berdekah.

“Selepas ini, aku akan ke Makkah untuk merobohkan Ka’bah, dan ke Madinah untuk mengorek kubur Muhammad. Baru kamu tahu betapa lemahnya kamu!”

Dan Raynald membawa adik Salahuddin bersamanya.

****

Tahun 1187. Medan peperangan Hattin. Debu masih menyelimuti langit. Mayat-mayat pula penuh bergelimpangan di atas bumi. Burung-burung pemakan bangkai mula mengintai makanannya.

Kelihatan dua orang lelaki dalam keadaan terikat, sedang dibawa ke satu khemah yang besar.

“Tuanku, inilah dia Guy of Lusignan dan Raynald De Chatillon” Wakil askar yang membawa dua orang itu bersuara.

Satu figur yang memakai zirah perang kuning keemasan lengkap bertopi, memalingkan wajah. Menghadap kepada dua tawanan perang itu. Matanya bersinar.

“Salahuddin” Raynald mengetap bibirnya.

Salahuddin Al-Ayubi tersenyum.

“Kamu mengabaikan suratku agar memulangkan adindaku. Bahkan berkeras untuk tidak menyerah dan membunuh pula utusanku” Salahuddin bergerak melepasi dua tawanan itu.

Dia memandang jauh ke medan perang.

Mayat-mayat tentera salib sedang dikumpul untuk dibakar. Pakaian besi dan senjata mereka telah diekstrak sebagai harta rampasan. Guy of Lusignan bersama Raynald De Chatillon keluar dari Sephoria menuju ke Tiberias untuk berhadapan dengan tentera Salahuddin Al-Ayubi selepas terpancing dengan serangan Salahuddin ke atas benteng tentera salib di Tiberias. Tentera Salahuddin yang utama hakikatnya berada di tempat bernama Kafr Sabt, bersedia untuk menyerang hendak tentera salib pimpinan Guy dan Raynald.

Perjalanan yang panjang, tanpa sempat mencapai sumber air, membuatkan tentera Salib menjadi lemah. Ketika itu juga tentera Salahuddin dari Kafr Sabt bergerak menghentam mereka dari dua arah. Dalam masa dua hari, tentera mereka hancur. Cubaan terakhir, mereka bergerak ke sebuah kawasan air di Hattin untuk menyusun semula tenaga mereka.

Namun Salahuddin telah menjangka semuanya. Di lembah Hattin, tentera Salib dihabisi.

Begitulah Allah mengotakan janji-janjiNya.

Di manakah Allah?

Bersama hambaNya yang percaya.

Salahuddin berpaling kembali dan merapati Guy dan Raynald. Dia memberikan isyarat kepada pembantunya agar membawakan air. Apabila air telah sampai, Salahuddin meminum air itu dan kemudian memberikan segelas air kepada Guy.

Guy mengambil dengan rakus, kerana sememangnya dia kehausan. Namun di tengah kehausannya, dia tidak lupa akan Raynald. Diberikanna sedikit air untuk rakannya itu.

Salahuddin mencelah: “Aku tidak memberikan kebenaran pun untuk itu”

Kedua mereka diam. Raynald kemudian menjawab: “Tidak. Tetapi rajaku, Guy yang memberikan aku minum”

Salahuddin tidak berkata apa-apa.

“Kau masih ingat apa yang kau katakan tahun lepas, Raynald?”

“Em, apa yang aku katakan?”

“Di manakah Allah dan Muhammad untuk membantu kamu?” Mata Salahuddin membesar.

Bulu roma Raynald menegak.

“Di sini Allah menurunkan hukumanNya buat kamu!” Salahuddin mengunuskan pedangnya, terus memeganggal kepala Raynald De Chatillon. Darah menyembur hingga membasahi tubuh Guy of Lusignan. Tubuh Raynald menyembah bumi dengan kepala terpisah dari diri.

Salahuddin memandang Guy.

“Raja tidak akan membunuh raja. Apakah ini tidak cukup untuk kamu mengambil pengajaran?”

Dan Salahuddin bergerak pergi.

“Kita ke Jerusalem. Menawan Al-Quds!” Sambil mengangkat tangannya. Disambut takbir yang menggempita daripada seluruh tentera.

****

2010. Atas kapal Marmara Mavi. Di sempadan laut Gaza.

“Tengah buat apa?” Satu sapaan menggetarkan gegendang telinga.

Noorazman menoleh. Kelihatan Ustaz Hasanuddin. Dia menyambut lelaki itu dengan senyuman.

“Sedang terkenangkan ummat” Noorazman melepaskan pandangan ke laut. Kelam sebelum subuh masih pekat. Justeru gelita ibarat malam tidak sirna. Tinggal hawa menjadi semakin sejuk dengan kewujudan embun dari langit. Dia duduk di tepi kapal bersama baju yang tebal.

Ustaz Hasanuddin duduk. “Moga-moga, usaha kita ini akan menjadi batu loncatan agar ummah bangkit dari lena”

Noorazman mengangguk. “Sungguh, misi kita bukan sekadar hendak menghantar bantuan kemanusiaan. Tetapi kita harapkan misi ini mampu memangkin semula keimanan ummah”

“Sama ada dengan kita selamat sampai ke Gaza, atau ditimpa musibah Israel di tengah lautan, kedua-duanya akan memberikan impak kepada dunia” Ustaz Hasanuddin membuka dompetnya.

Gambar dirinya bersama isteri dan anak-anak.

“Walau diri ini berkorban dan akhirnya terkorban, kalau itu harganya untuk kebangkitan ummah, maka ana tak akan menyesal”

Noorazman menghela nafas. “InsyaAllah, akan ada jiwa-jiwa yang menyahut” Sambil tangannya memaut bahu Ustaz Hasanuddin.

“Amiin”

Tiba-tiba, keheningan kelam terganggu dengan satu bunyi yang menderu. Noorazman dan Ustaz Hasanuddin mendongak ke langit. Kelihatan lampu-lampu sedang terapung.

“Apakah…” Dan belum sempat Noorazman menyempurnakan kalimah itu, lampu-lampu yang terapung sudah berada di atasnya bersama bunyi yang sangat kuat.

Putaran kipas Apache AH-64D kedengaran membingit.

“Ustaz Hasanuddin, Israel!” Noorazman menolak Ustaz Hasanuddin agar berlindung ke dalam kapal.

Tanpa amaran, tembakan bertalu-talu dilepaskan. Suasana kapal yang tadinya tenang kini bergejolak. Komando-komando Israel turun dari helikopter dan tanpa belas melepaskan tembakan bertalu-talu ke semua arah tanpa mengira sesiapa.

Noorazman dan Ustaz Hasanuddin berlindung di sebalik dinding. Mereka sempat juga melihat kapal-kapal lain yang menyertai konvoi Lifeline4Gaza, Break The Siedge, sedang mengalami nasib yang sama.

“Ya Allah, sungguh Allah telah memilih kita!” Ustaz Hasanuddin memandang Noorazman.

Belum sempat Noorazman memberikan respon, satu bunyi membuatkan tubuhnya kaku. Terasa seperti ada besi panas menyentuh ubun kepalanya.

“Jangan bergerak. Bangun dengan perlahan-lahan” Suara itu kedengaran. Menurut arahan, Noorazman dan Ustaz Hasanuddin bangun. Kelihatan tentera berpakaian serba hitam sedang mengacu SC3000 ke arah mereka berdua.

Noorazman dan Ustaz Hasanuddin dibawa ke hadapan dek kapal. Di situ mereka melihat ramai lagi ahli konvoi sedang dikumpulkan. Sempat mereka melihat berbelas mayat bergelimpangan. Air mata tidak dapat ditahan, lantas mengalir kesayuan.

“Apakah kalian tidak kisah bahawa perkara ini akan ditunjukkan kepada dunia?” Noorazman berbicara kepada tentera yang membawanya.

Tentera itu hanya tersegih. “Sedangkan pembunuhan dan peperangan di Palestin selama ini pun dihalalkan oleh dunia untuk kami, apatah lagi kematian sekitar 20 orang hari ini?”

“Allah akan menghitung kamu!” Ustaz Hasanuddin mengetap bibir, geram.

Tentera-tentera itu ketawa.

“Maka di mana Tuhan kamu itu?” Dan mereka terus ketawa. Salah seorang dari mereka memegang kepala Ustaz Hasanuddin dengan keras. Matanya didekatkan dengan mata Ustaz Hasanuddin.

“Kami telah menawan Palestin 62 tahun. Dan sepanjang waktu itu, entah berapa kali kami telah mendengar laungan nama Allah dari mulut mereka. Tetapi tetap kami yang berkuasa. Hari ini, semua yang mati itu, semuanya menjerit nama Allah di hujung nyawa mereka, tetapi tetap kami berdiri di sini menawan kamu semua.”

Kemudian dia diam sebentar. Ustaz Hasanuddin pula turun naik nafasnya.

“Maka, di mana tuhan kamu?”

Dan soalannya disambut dekah tawa.

Seluruh kapal konvoi di bawa Haifa.

Tragedi yang berlaku ini, menggemparkan dunia. Tetapi kekebalan Israel membuatkan segala suara menjadi sia-sia. Tambah menjadi anak angkat kepada penguasa dunia, atau lebih tepat lagi, kuasa dunia itu adalah boneka mereka, Israel tidak mampu disentuh hanya dengan jeritan sahaja.

Ada manusia akhirnya tidak peduli. Padanya ini hanyalah satu kisah, dari puluhan kisah tragedi di tangan Israel. Ada pula manusia yang turut serta bising itu dan ini. Tetapi akhirnya dia juga senyap kerana tidak mampu mencapai apa yang dihajati dalam masa yang amat terdekat ini.

Ramai pula manusia sudah hilang kekuatan untuk berusaha. Sangka mereka Tuhan telah meninggalkan mereka.

Tetapi Allah hakikatnya sentiasa ada dan dekat dengan hambaNya. Ini adalah ujian, tapisan, untuk memerhatikan siapa yang benar-benar beriman kepadaNya. Nanti saat bantuan tiba, yang palsu keimanannya akan tertapis pergi.

Yang tinggal hanya yang benar-benar layak mencium syurga.

Dan dalam kalangan manusia berbagai rencah itu, wujud lagi yang tidak berputus asa.

Terus menerus memproses.

Memandang ini sebagai satu perang nafas panjang.

Yang di akhirnya hanyalah kebenaran kepada yang utuh berpegang.

*****

Tahun XXXX, tempat XXXX, waktu XXXX.

Dia meraup wajahnya. Doa penuh khusyuk telah dipanjatkan kepada Rabbnya. Mengambil masa, dia bertafakur seketika. Walau di luar kelihatan tidak melakukan apa-apa, tetapi akal dan jiwanya sedang bekerja. Akal merangka segala jenis formula strategi. Jiwa pula sibuk menjaga hubungan dengan Pemberi Kekuatan di medan nanti.

“Jeneral, pasukan kita telah siap” Dia dipanggil.

Menghela nafas, dia bangkit. Kain khemahnya diselak. Cahaya terang memanah. Dia sedang berdiri menghadap jutaan tentera yang berbaris kemas. Kelihatan pula di satu sudut, gabenor-gabenor wilayah sedang duduk di kerusi masing-masing. Di tengah-tengah mereka, terdapat satu figur yang kelihatan dari luarnya sederhana, tetapi perawakannya menggambarkan karismanya yang tinggi.

Itulah dia Khalifah ummat hari ini.

Dunia telah berubah ke satu ekstensi yang tidak pernah ada yang menjangka. Perubahan sedikit demi sedikit yang berlaku di serata tempat di dunia, membuatkan musuh-musuh tidak menang tangan menguruskannya. Akhirnya wujud beberapa negara yang berjaya ditumbangkan dan dikuasai. Ada yang menggunakan politik, ada pula yang menggunakan tentera.

Tetapi asasnya tetap sama. Ummah dikoreksi terlebih dahulu, sebelum kuasa diambil semula. Terus, masyarakat yang faham menyokong ketua mereka, bersepadu hidup dan mati kerana faham bahawa ini semua untuk syurga Allah di akhirat sana.

Ketua-ketua pula adil dan saksama, membentuk satu kesatuan menghapuskan sempadan sesama negara. Mewujudkan satu kekuatan bernaung di bawah satu nama. Khilafah.

Amirul Mukminin, Sultan tertinggi mengetuai semua orang Islam di dunia, dihidupkan semula. Semua orang Islam bergerak meninggalkan negara mereka dan bernaung di bawah kekuasaan khilafah ini. Mencari kehidupan yang aman bawah sistem peraturan yang ideal dan sempurna. Terlindung dan dibela.

Pembinaan yang dirancang berpuluh-puluh tahun dan digerakkan secara konsisten ini, melahirkan kekuatan yang tidak terjangka. Jika dahulu Amerika terpaksa bersaing dengan Russia untuk menjadi kuasa terbesar dunia, hari ini mereka sedang dihimpit satu kuasa besar yang tiada tandingannya.

Dan hari ini, tanah suci bernama Al-Quds hendak ditawan semula.

Walaupun berkali-kali Amerika merayu agar perjanjian damai yang menjadi solusinya, khalifah tetap berkeras untuk meneruskan ekspedisi perang ini. Tiada lagi yang berani menyelar itu satu tindakan terorisma. Tiada siapa lagi berani mengugut untuk melakukan itu dan ini jika bertindak. Tiada siapa lagi berani menghina dan mencerca.

Israel Zionis juga hilang bicara. Antara ugutan mereka adalah ingin meruntuhkan Al-Aqsa jika Khalifah tetap menyerang juga.

Tetapi Khalifah mengeluarkan kenyataan.

“Ka’bah pernah runtuh dan dibina semula. Kamu hanya akan mampu meruntuhkan bangunan Al-Aqsa dan kami akan membinanya semula.” Keras dan tegas, membawa kepada kegerunan yang tidak terhingga.

“Hari ini, aku sebagai wakil Allah di bumi, dan pewaris Rasulullah untuk zaman ini, akan menjalankan hukuman ke atas kalian wahai kaum kera” Khalifah menutup penyataan tegasnya.

Amerika diberi amaran agar menyertai Israel agar mudah dihapuskan sekaligus, dan nyata Amerika tidak berani berbuat apa-apa melainkan menunggu gilirannya di bumi sendiri sana.

Dia menghela nafas. Dia, jeneral yang akan mengetuai ketumbukan tentera untuk menundukkan Israel hari ini. Dan semua yang berada di hadapannya kini, tidak akan mampu terwujud tanpa usaha penuh perancangan dan konsisten yang dilaksanakan oleh orang-orang terdahulu.

Satu proses yang dilaksanakan penuh dedikasi dan efisyen.

Dakwah dan Tarbiyyah dalam bentuk pegerakan yang bersistem.

Ibarat anai-anai yang merobohkan almari. Senyap bekerja, dan kesannya menggemparkan jiwa.

Nafas disedut tenang. Dia mengangkat tangan.

“Menuju Al-Quds!”

“Allahuakbar, Allahuakbar, Allahuakbar!” Dan teriakan takbir menggempita.

Hujan turun membasahi dunia. Seakan-akan tangisan syukur oleh bumi kerana kembalinya kerajaan khilafah yang bersatu seperti zaman Al-Mu’tasim, dan tentera serta pemimpin yang bersih seperti Salahuddin dan askarnya yang dipimpin.

Kapal terbang, jet pejuang, helikopter, kapal selam, kapal perang armada, bergerak meninggalkan pangkalan.

Dia memandang jauh ke hadapan.

“Wahai Israel, inilah dia suara Tuhanku menyatakan bahawa Dia sentiasa wujud bersama hambaNya. Yang percaya akan bahagia. Yang tidak hanya akan merana”

Rujukan:

http://en.wikipedia.org/wiki/Saladin

http://en.wikipedia.org/wiki/Raynald_of_Ch√Ętillon

http://en.wikipedia.org/wiki/Battle_of_Hattin

http://id.wikipedia.org/wiki/Al-Mu’tasim

http://www.iiu.edu.my/deed/quran/malay/index.html

******

Tokei Ikan BertaQwa

Kansai Bussan Kabushiki Gaisha,

1608-1, Kisana, Ookoshi Cho,

Sakaide 762-0014 Japan.

~Promosi Terhebat~